BLOG DI DALAM PENGAJIAN KESUSASTERAAN
Menurut Noraien Mansor &
Normaliza Abd Rahim (2019), keputusan dan perbincangan kajian dapat dibahagikan
kepada tiga bahagian iaitu pengajian kesusasteraan, pembelajaran bahasa dan
pembelajaran multimedia. Graf 6.1 menunjukkan perspektif responden tentang blog
berdasarkan pengajian kesusasteraan seperti puisi, cerpen, skrip drama dan
pantun. Responden memilih salah satu daripada genre kesusasteraan berikut yang
mereka suka untuk ditulis. Bagi puisi, 66.7% iaitu 20 responden lelaki dan 24
responden wanita menyatakan bahawa blog merupakan medium terbaik untuk menulis
puisi Oleh demikian, mereka mencuba yang terbaik untuk memastikan penulisan
mereka dapat difahami dan sesuai, bukan sahaja meningkatkan tahap keyakinan
tetapi juga dapat memotivasikan pelajar untuk menulis dalam bahasa sasaran. Untuk
cerpen pendek pula, graf 6.1 menunjukkan 86.7% iaitu 26 responden lelaki dan
96.7% responden wanita menyatakan bahawa blog merupakan medium yang terbaik
untuk menulis cerpen pendek. Mereka tertanya-tanya akan dunia yang berbeza dan
mereka mampu berimaginasi tentang apa yang mereka tulis, mampu meningkatkan
motivasi mereka dan tahap keyakinan di dalam penulisan. Untuk menulis skrip,
76.7% (23 responden lelaki) dan 93.3% (28 responden perempuan) menyatakan
bahawa menulis skrip dengan menggunakan bahasa sasaran adalah sesuai untuk
penulisan blog. Responden wanita menyatakan bahawa mereka berminat untuk
berkongsi idea dan pandangan dalam menulis skrip menolong mereka berimaginasi. Responden
juga menyatakan bahawa mereka juga mampu untuk menulis apa sahaja dalam skrip
melalui blog. Bagi pantun pula, seramai 66.7% (20 responden lelaki) dan 86.7%
(26 responden wanita) telah memilih pantun sebagai genre yang sesuai. Wanita kelihatan
lebih berpuas hati dengan pantun memandangkan mereka mengetahui cara untuk
menulis pantun dua rangkap dengan baik. Mereka menyatakan bahawa menulis pantun
bagi meninggalkan pesanan kepada rakan mereka melalui blog.
BLOG DALAM PEMBELAJARAN BAHASA
Menurut Noraien Mansor &
Normaliza Abd Rahim (2019), pembelajaran bahasa boleh dipelajari melalui
penulisan surat, meluahkan perasaan dan juga melalui pemikiran kritis daripada
blog. Bagi penulisan surat, 80% (24 responden lelaki) dan 83.3% (25 responden
wanita) memilih menulis surat sebagai proses pembelajaran bahasa. Ini disebabkan
responden wanita suka menulis surat kepada teman istimewa atau kedua ibu bapa
mereka. Dengan menulis surat, ia membantu meningkatkan keyakinan mereka untuk
menulis. Mereka berpendapat bahawa meninggalkan surat di dalam blog adalah
sesuai. Seterusnya, terdapat 66.7% (20 responden lelaki) dan 100% (30 responden
wanita) menyatakan bahawa cara meluahkan perasaan dengan baik adalah melalui
blog. Peratusan responden menunjukkan bahawa wanita lebih bersikap sentimental.
Bagi responden lelaki, mereka mungkin tidak berminat untuk meluahkan perasaan
mereka di dalam blog memandangkan ia akan dibaca oleh orang lain dan juga akan
membuatkan mereka berasa malu. Responden wanita pula menyatakan bahawa mereka
menggunakan blog untuk menulis secara peribadi di samping untuk meluahkan
perasaan hari ke hari. Seterusnya, seramai 93.3% (28 responden lelaki) dan
96.7% (29 responden wanita) menyatakan bahawa menulis teka-teki di dalam blog
adalah salah satu kaedah yang disukai oleh mereka. Ini kerana mereka menerima
banyak komen daripada pembaca. Komen-komen itu pula mengandungi jawapan untuk
teka-teki itu. Ini dapat membantu meningkatkan motivasi mereka untuk menulis
lebih banyak lagi teka-teki. Responden juga menyatakan bahawa teka-teki sangat
menarik dan mencabar.
BLOG DALAM PEMBELAJARAN TEKNOLOGI
Menurut Noraien Mansor &
Normaliza Abd Rahim (2019), penulisan blog membantu responden dalam proses
pembelajaran teknologi. Responden menyukai video, audio dan fotografi
dimasukkan di dalam blog. Teknologi telah memotivasikan mereka untuk mencuba
benda baharu di dalam blog. Bagi video, 100% responden lelaki dan wanita
menyatakan dengan memasukkan video ke dalam blog memberi kepuasan kepada
mereka. Muzik video yang dipilih juga sesuai dan berkait dengan cerita yang
mereka tulis. Responden juga suka meletakkan klip video berkenaan cerpen pendek
atau dokumentari di dalam blog. Bagi audio pula, bilangan peratusan untuk
kedua-dua responden lelaki dan wanita adalah sama. 100% kedua-dua responden
lelaki dan wanita berminat dengan audio kerana kesemua blog mengandungi lagu
kegemaran mereka dan lagu-lagu ini diletakkan dalam senarai main lagu di mana
ia secara automatik dimainkan ketika blog dibuka. Bagi gambar pula, 93% responden
lelaki dan 100% responden wanita menyatakan bahawa meletakkan gambar di blog
boleh menyiapkan hantaran. Responden wanita suka menggunakan telefon bimbit
untuk mengambil gambar dan menghantarnya terus ke dalam blog. Responden menyatakan
bahawa blog yang mengandungi gambar akan menjadi menarik.
Kesimpulannya, keputusan
penulisan blog dalam pengajian kesusasteraan pembelajaran bahasa dan
pembelajaran teknologi menunjukkan kebanyakan responden yang terlibat dalam
kajian ini telah memperoleh keyakinan mereka untuk menulis di blog. Dengan menulis
blog, dapat membantu mereka lebih memahami kesusasteraan, bahasa dan
pembelajaran teknologi.
RUJUKAN:
Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim (2019), Eh!! Media Sosial, Terengganu: Universiti Malaysia Terengganu.
No comments:
Post a Comment